Reda Terima Musibah
Hamnah binti Jahsyin Rayyab al-Asadiah bukan orang lain dengan Rasulullah S.A.W., sebaliknya dia salah seorang sepupu baginda sendiri. Hamnah merupakan anak perempuan kepada Umaimah binti Abdul Mutalib dan saudara perempuan kepada Zainab binti Jahsyin yang merupakan salah seorang isteri Rasulullah S.A.W.
Hamnah mendirikan rumahtangga dengan Mus’ad ibn Umair yang berkhidmat sebagai utusan Rasulullah bagi penduduk Madinah. Hasil perkahwinan ini, mereka dikurniakan anak perempuan bernama Zainab. Ketika bujangnya dan semasa menetap di Mekah, Mus’ad terkenal sebagai pemuda tampan yang selalu bergaya mewah. Ibunya, Khunnas binti Malik merupakan seorang perempuan kaya yang selalu membelikan anak lelakinya pakaian yang mahal dan indah.
Anak muda ini juga selalu mengenakan wangi-wangian yang paling harum yang ada di kota Mekah. Setiap kali keluar berjalan di kota, kakinya sentiasa beralas sandal mahal buatan Yaman. Disebabkan karakternya itu, Rasulullah S.A.W. sendiri pernah berkata, “Aku tidak pernah melihat seorang pun lelaki Mekah yang paling indah, perhiasan yang paling cantik dan kehidupan yang lebih baik daripada Mus’ad bin Umair.
BEROLEH HIDAYAH
Namun, sebaik-baik sahaja sinar Islam bercahaya di seluruh Mekah, Mus’ad antara orang terawal yang beroleh hidayah. Dia mengikuti kelas agama yang diadakan Rasulullah di rumah Arqam bin Abi Arqam dan terus memeluk Islam di sana. Mulai hari itu, dia bersama-sama orang Islam yang lain telah mengikut kelas Rasulullah dan belajar secara langsung daripada Baginda. Mus’ad juga dilantik sebagai duta atau wakil Rasulullah untuk ke Bandar Madinah.
Isterinya Hamnah juga tergolong dalam kalangan kelompok pertama sahabat wanita yang memeluk Islam. Apabila orang Islam tertekan dengan seksaan yang dikenakan golongan kafir Quraisy, mereka mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah. Dari kalangan lelaki yang terbabit adalah Abdullah bin Jahsyin, Abu Ahmad bin Jahsyin dan Ukkasyah ibn Muhsin. Sementara di kalangan wanita, selain Hamnah sendiri, turut berhijrah adalah Zainab binti Jahsyin, Ummu Habib binti Jahsyin, Jazzamah binti Jandal, Ummu Qais binti Muhsin dan Ummu Habib bin Thumamah.
Hamnah antara sahabat wanita yang banyak menyumbang terhadap perkembangan awal Islam. Hamnah selalu mengamalkan aklak para Ummul Mukminin dan mengamalkan setiap pesanan Rasulullah. Hamnah turut terbabit dalam beberapa siri peperangan umat Islam dan membantu sebagai jururawat.
SABARLAH HAMNAH
Kisah wanita yang terbabit ke medan Perang Uhud ini pernah diceritakan seorang sahabat, Ka’ab bin Malik. Katanya, “Saya melihat Ummu Sulaim binti Milhan dan Aisyah (Ummul Mukminin) sedang membawa bekas air. Sementara itu, Hamnah binti Jahsyin memberikan air pada para pasukan yang kehausan dan merawat mereka yang cedera. Ummu Aiman pula memberikan air minuman pada pasukan yang terluka.
Umat Islam kalah dalam peperangan di Uhud. Peperangan itu juga telah mengorbankan suami Hamnah serta 70 orang sahabat yang lain. Dalam saat sedih ini, Rasulullah cuba menenangkan Hamnah dengan berkata, “Bersabarlah, Hamnah.”
Hamnah menjawab, “ Untuk siapa , Rasulullah?”
Jawab Rasulullah, “ Untuk bapa saudaramu (dari sebelah ibu) Hamzah.”
Hamnah membalas, “ Sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah dan kita akan kembali kepadaNya. Selamatlah dia selepas beroleh syahadah.”
Bersambung……………………..
Petikan dari Majalah Nur, keluaran Julai 2006.
0 comments:
Post a Comment