CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, November 21, 2009

Abdullah bin Umar - Sahabat Malam


















Perang Khandak berkecamuk. Beredar khabar bahawa siapa sahaja lelaki berusia 15 tahun ke atas berhak ikut berjihad. Mendengar itu, seorang pemuda berseri-seri wajahnya. Usianya saat itu masuk 15 tahun. Beliau segera mendaftarkan diri. Itulah idamannya selama ini: berjihad bersama Rasulullah. Keikutsertaannya dalam berbagai-bagai medan jihad tidak pernah lepas dalam sejarah hidup pemuda itu. Saat perang membuka kota Mekah (Futuh Makkah), beliau berusia 20 tahun dan merupakan antara pemuda yang menonjol di medan perang. Beliaulah, Abdullah ibn Umar, atau Ibnu Umar. Sahabat Malam.


Ibnu Umar dikenal berperibadi sebagai bersahabat malam untuk beribadah, dan berkawan dengan dinihari untuk menangis memohon ampunan-Nya. Dalam soal solat malam ini, ada riwayatnya. Pada masa hayat Rasulullah, Ibnu Umar mendapat kurnia Allah. Setelah selesai solat bersama Rasulullah, beliau pulang, dan bermimpi. "Seolah-olah di tanganku ada selembar kain beludru. Tempat mana saja yang kuingini di syurga, kain beledru itu akan menerbangkanku ke sana. Dua malaikat telah membawaku ke neraka, memperlihatkan semua bahagian yang ada di neraka. Keduanya menjawab apa saja yang kutanyakan mengenai keadaan neraka," begitulah diungkapkan Ibnu Umar kepada saudaranya yang juga isteri Rasul, Hafshah, keesokan harinya.


Hafshah langsung menanyakan mimpi adiknya kepada Rasulullah. Rasulullah SAW bersabda:
"ni’marrajulu 'abdullah, lau kaana yushallii minallaili fayuksiru",
-"Akan menjadi lelaki paling utamalah Abdullah itu, andainya dia sering solat malam dan banyak melakukannya."

Semenjak itulah, sehingga beliau meninggal, Ibnu Umar tidak pernah meninggalkan qiyamul lail, baik ketika bermukim atau bermusafir. Beliau sangat tekun mengerjakan solat, membaca al-Quran, dan banyak berzikir menyebut asma Allah. Beliau amat menyerupai ayahnya, Umar ibn Khatthab, yang selalu mencucurkan airmata tatkala mendengar ayat-ayat peringatan dari Al-Quran. Dalam soal ini, 'Ubaid ibn 'Umair bersaksi, "Suatu ketika kubacakan ayat ini kepada Abdullah ibnu Umar." 'Ubaid membacakan QS 4:41-42 yang ertinya:

"Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila Kami datangkan seseorang saksi (rasul) dari tiap-tiap umat, dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu). Di hari itu orang-orang kafir dan yang menderhakai Rasul berharap kiranya mereka ditelan bumi, dan mereka tidak dapat menyembunyikan (dari Allah) sesuatu kejadian pun."

Maka Ibn Umar menangis hingga janggutnya basah oleh air mata. Pada kesempatan lain, Ibnu Umar tengah duduk di antara sahabatnya, lalu membaca QS 83:-6 yang maknanya:

"Maka celakalah orang-orang yang berlaku curang dalam takaran. Yakni orang-orang yang apabila menerima takaran dari orang lain meminta dipenuhi, tetapi mengurangkannya bila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain. Tidakkah mereka merasa bahAwa mereka akan dibangkitkan nanti menghadapi suatu hari yang dahsyat, iaitu ketika manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam."

Lantas Ibnu Umar mengulangi bahagian akhir ayat keenam, "yauma yaquumun naasu lirabbil 'alamiin", ketika manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam. Air matanya bercucuran, sampai akhirnya beliau jatuh kerana rasa duka yang mendalam dan banyak menangis.

Abdullah ibnu Umar adalah salah satu sahabat Nabi yang berhati lembut dan begitu mendalam cintanya kepada Rasulullah. Sepeninggalan Rasulullah SAW, apabila beliau mendengar nama Rasulullah disebut di hadapannya, beliiau menangis. Ketika beliau melewati sebuah tempat yang pernah disinggahi Rasulullah, baik di Mekah maupun di Madinah, beliau akan memejamkan matanya, lantas butiran air bening meluncur dari sudut matanya.

Sebagai sahabat Rasul, ahli ibadah dan dikaruniai mimpi yang haq, karena mimpinya dibenarkan Rasulullah, beliau menjadi manusia yang tidak berminat lagi kepada dunia. Sebuah kecenderungan yang sudah nampak sejak beliau remaja, ketika pertama kali ghairahnya beliau bangkit untuk ikut berjihad.